Isnin, 9 September 2013

Sejarah Pengakap Selangor


Sejarah pergerakan pengakap negeri Selangor Darul Ehsan turut meliputi kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sempena penubuhan Wilayah Pesekutuan Kuala Lumpur, Majlis Pengakap Negeri Selangor dan Majlis Pengakap Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah dengan rasminya menjadi dua entiti yang berasingan mulai 27 Februari 1974. Upacara pengisytiharan telah diadakan di Kem Kotaraya, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.Pejabat pentadbiran pengakap Selangor terletak di Kem Kotaraya, Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Kem ini lebih dikenali dengan nama ' Castle Camp ' kerana bentuk bangunannya yeng meyerupai sebuah 'castle' seperti bentuk bangunan lama di England. Pihak kerajaan telah memberikan kawasan ini yang merupakan bekas tapak projek hospital yang telah dibatalkan kepada pergerakan pengakap untuk latihan berpengakap pada tahun 1933.Pada tahun 1934, ahli-ahli pengakap telah berusaha keras memperindahkan bangunan Kem Kotaraya yang terbengkalai bagi meraikan lawatan Lord Baden-Powell ke Malaya. Lawatan Lord Baden-Powell, pengasas pergerakan pengakap telah mencatatkan beberapa detik sejarah penting kem tersebut. Lord Baden-Powell telah meninggalkan kesan tapak kaki dan juga kasut beliau di kem tersebut. Beliau dan ahli rombongannya yang terdiri daripada Lord Rowallan, Ketua Pengakap Dunia, dan Sir Charles Maclean bekas Ketua Pengakap Komenwell turut menanam pokok di sekitar kem tersebut.Pergerakan pengakap di Malaysia tidak dapat melupakan jasa bakti seorang pegawai perkhidmatan pendidik Inggeris bernama Frank C. Sands, MBE, FRAS yang terlibat dengan pengakap di England, Malaya dan Singapura selama 38 tahun bermula dari tahun 1908 hingga 1948. Beliau telah menjawat jawatan Pesuruhjaya Pengakap untuk cawangan Malaya dalam tempoh tersebut. Beliau memulakan pergerakan pengakap di Singapura pada tahun 1910 dengan dua kumpulan terdiri daripada 30 orang ahli pengakap. Tahun 1910 adalah satu detik penting sebagai tanda berkembangnya pergerakan pengakap di Malaysia.Pergerakan pengakap mula diperkenalkan di Selangor pada tahun 1909 dengan tertubuhnya satu kumpulan pengakap di Victoria Institution ( VI ) - Sekolah Victoria pada 15 Mac 1909 dan diikuti dengan penubuhan pengakap di Sekolah St. John dan Sekolah Methodist, Kuala Lumpur tetapi pergerakan di dua sekolah ini kurang cergas dan dibubarkan pada tahun 1913. Pembubaran kumpulan pengakap ini menyaksikan perjalanan pengakap begitu malap sehingga tahun 1926.Pada bulan Mei 1926, Persekutuan Tempatan ( Local Assosiation ) Selangor telah ditubuhkan yang tarafnya sama dengan Majlis Pengakap Negeri pada hari ini. Encik J.R. Kellam telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Daerah ( jawatan Pesuruhjaya Daerah pada masa itu adalah setaraf dengan jawatan Pesuruhjaya Negeri pada hari ini ) dan Encik Ameen Akbar sebagai Penolong Pesuruhjaya Daerah. Encik Ameen Akbar telah menubuhkan bahagian kelana ( rover ) pada tahun 1926. Pergerakan pengakap semakin berkembang melalui usaha gigih Encik Ameen Akbar yang memperkenalkannya di sekolah-sekolah Melayu di Kuala Lumpur pada tahun 1925 dan diikuti oleh sekolah-sekolah Melayu di luar Kuala Lumpur kemudiannya. Pergerakan pengakap turut berkembang ke sekolah-sekolah Cina dan Tamil di Selangor.Dua tokoh penting yang membawa pergerakan pengakap ke sekolah-sekolah Melayu ialah Encik Ameen Akbar dari Selangor dan Encik S.M Zainal Abidin dari Pulau Pinang. Mengikut pendapat F.C Sands, Encik Ameen Akbar adalah tunggak utama pergerakan pengakap di Selangor pada masa itu .Encik Ameen Akbar dan Encik S.M Zainal Abidin berusaha keras memberi latihan kepada guru-guru Melayu. Beberapa buku pengakap telah diterjemah ke bahasa Melayu oleh Encik S.M Zainal Abidin. Usaha menterjemah buku-buku pengakap ini banyak membantu meningkatkan lagi perkembangan pergerakan pengakap di sekolah-sekolah Melayu.Antara tokoh-tokoh lama yang telah banyak menyumbangkan tenaga kepada pengakap di Selangor termasuklah Encik Marcus Dukes, Encik Westrop, Encik Burton, Encik Lancaster dan Kapten Headlam yang kesemuanya pernah menjawat jawatan Pesuruhjaya Daerah Selangor sebelum perang dunia kedua dan diikuti oleh Encik G.D Muir selepas perang. Anak-anak tempatan juga tidak kurang ketokohan mereka dalam memajukan pergerakan pengakap di Selangor. Antaranya ialah Encik Ameen Akbar. Encik Yusof Ahmad, Kapten Mohamad Ali yang merupakan anak tempatan pertama menjadi Pesuruhjaya Negeri Selangor. Selepas Kapten Mohamad Ali, jawatan Pesuruhjaya Negeri Selangor disandang oleh Encik Ng Khiew Tin, Encik Victor, Encik Phang Piang Pah, Encik Ibrahim bin Samad, Tuan Haji Zainuddin bin Jantan, Tuan Haji Karim Ahmad, Tuan Haji Akasah bin Haji Taib dan sekarang Tuan Haji Ishak bin Jonid.Perkembangan pergerakan ke daerah-daerah di negeri Selangor turut lancar dengan penubuhan pergerakan pengakap di daerah   Sabak Bernam (1945), Banting (1951, Kajang (1947), Kelang (1950), Kepong (!948), Hulu Langat (1959), Petaling (1954), Rawang (1960), Sepang (1963), Kuala Selangor (1963), Hulu Selangor (1961), Tanjung Karang (1974) dan Gombak ( 1974). 


EXTRACTED FROM:
http://nizamdascout.blogspot.com/2008_12_01_archive.html

Anugerah Lencana Keris Perak 2013

Terima kasih kepada semua Penolong Pemimpin Pengakap sekolah ini. En.Tanasegar, En.Khirul, Pn.Krishnakumari dan Pn.Vanaja
Gambar bersama pemimpin pengakap Kumpulan 55/ Kuala Langat, En.Ravichandran Topekan pada 8/9/13

Tahniah! Sekali lagi ahli pengakap Kumpulan 55 Kuala Langat telah menyertai perkhemahan Ujian Lencana Keris Perak yang telah diadakan di SK Sungai Manggis, Banting pada 6-8 September 2013. Seramai 2 orang ahli telah berjaya menyelesaikan tugasan dalam buku log pengakap dan memperolehi Lencana Keris Perak iaitu adik Pavethrra A/P N.Kumaran dan Vasundra A/P Sankaran masing-masing dari Tahun 5 / 2013. Walaubagaimanapun murid Tahun 6 seramai 4 orang  tidak dapat menyertai perkhemahan memandangkan Ujian UPSR akan menjelang 2 hari lagi selepas perkhemahan tersebut..........
 'ONCE A SCOUT ALWAYS A SCOUT'